mutakhir

Covid-19: KKM tingkatkan kapasiti ujian RT-PCR

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus meningkatkan kapasiti maksimum makmal Covid-19 kepada 54,706 ujian RT-PCR setiap hari.

Ia antara usaha memperkukuhkan kesiapsiagaan pelbagai aspek kesihatan dalam mendepani penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pencapaian itu adalah hasil kesepaduan kerjasama semua 61 makmal bawah KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Universiti Awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta serta makmal swasta.

Beliau berkata, ketika ini 13 makmal UA di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan makmal swasta dalam proses menggembeling sumber ke tahap maksimum.

Katanya, setakat semalam, 42 peratus kapasiti makmal negara digunakan dan ia dijangka meningkat bagi menguji lebih banyak sampel, terutama dari zon merah, zon kuning serta aktiviti saringan dan pengesanan aktif kontak rapat oleh KKM.

"Di Sabah, Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKAKK), makmal di

Hospital Queen Elizabeth dan Makmal Universiti Malaysia Sabah (UMS)

dengan kapasiti 2,500 ujian sehari sudah beroperasi manakala baki sampel dari keseluruhan Sabah dihantar dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Malaysia (TUDM) ke Semenanjung.

"Selain itu makmal di Klinik Kesihatan Tawau Kubota sedang dilengkapkan supaya dapat menjalankan ujian RT-PCR dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Adham berkata, ujian RTK-Ag, iaitu ujian pengesanan antigen, digunakan di lapangan bagi membantu pengesanan awal kes positif Covid-19 dengan lebih banyak.

Beliau berkata, KKM akan terus mempertingkatkan usaha bersepadu dengan pelbagai pihak untuk menjayakan usaha membendung Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 1:21pm
    d