mutakhir

Makan dalam air [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Fenomena air pasang besar yang berlaku sejak semalam menyebabkan kawasan Kuala Kedah, dekat sini ditenggelami air.

Tinjauan di sekitar pekan ini mendapati, kawasan berhampiran jeti Kuala Kedah di sini mula dinaiki air, malah kawasan pelantar ikan di Kampung Seberang Kota, di sini turut digenangi air laut antara 0.3 hingga satu meter.

Peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 45, berkata, kejadian berlaku sejak semalam sekitar jam 11.30 pagi hingga 3 petang, dan surut tidak lama selepas itu.

"Disebabkan itu, peniaga ikan dan nelayan di kawasan itu pulang awal kerana kawasan pelantar ditenggelami air.

"Biasanya air pasang akan menyebabkan berlaku ombak besar di tengah laut dan nelayan pulang dengan hasil yang agak kurang," katanya ketika ditemui di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, di sini hari ini.

Selain itu, pengunjung luar yang sedang menikmati makan tengah hari di kedai berhampiran pelantar itu tidak sempat berbuat apa-apa apabila terpaksa makan di dalam air ketika air laut mula memenuhi kedai makan berkenaan.

Fenomena itu dianggap biasa oleh nelayan dan kedai makan di sekitar kawasan itu, namun luar biasa bagi pengunjung luar yang datang ke kawasan itu.

Saiful Ismail, 38, berkata, dia datang bersama keluarganya untuk membeli ikan di pelantar ikan berkenaan sambil menikmati hidangan tengah hari di situ, sebelum kaki ditenggelami air akibat air pasang besar.

Katanya, ini pengalaman baru baginya bersama keluarga kerana dapat makan dalam suasana berendam kaki dalam 'air laut'.

"Memang seronok tetapi kasut basah sebab tak sempat nak buat apa air laut sudah penuh di kawasan ini.

"Air sangat deras dan suasana ini boleh dirasai ketika air pasang saja," katanya.

Nelayan, Zainurin Din, 48, dia yang keluar menangkap ikan sejak jam 6.30 pagi terpaksa pulang awal dan hanya mampu memperoleh 20 kilogram (kg) ikan sahaja.

Katanya, dia hanya bergerak di kawasan pesisir Kuala Kedah dan tak berani keluar jauh sebelum kerana bimbang perubahan monsun timur laut yang boleh menyebabkan ombak besar berlaku tiba-tiba.

"Dapat hasil tangkapan banyak ini pun sudah cukup kerana saya tak mahu tanggung risiko walaupun sebelum ini saya boleh menangkap ikan sehingga Pulau Payar di Langkawi," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain menasihatkan nelayan dan orang ramai supaya berhati-hati dengan perubahan monsun timur laut yang berlaku pada Oktober hingga November ini.

Katanya, air pasang besar turut memberi kesan di kawasan Kuala Kedah dan Kuala Muda turut terjejas.

"Dijangkakan ombak setinggi hampir tiga meter berlaku di kawasan laut dan boleh membahayakan keselamatan nelayan bot kecil dan segala aktiviti riadah di pantai perlu dijauhi ketika ini.

"Selain itu, orang ramai perlu berhati-hati ketika melakukan riadah dan tidak mengunjungi 18 lokasi pusat peranginan di negeri ini sekiranya cuaca tidak menentu kerana boleh menyebabkan kepala air," katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 3:45pm
d