mutakhir

Covid-19: Masjid Wakaf Tembesu tutup sementara [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Masjid Wakaf Tembesu di sini, ditutup tiga hari bagi proses disinfeksi dan pembersihan susulan terdapat jemaah positif Covid-19.

Penutupan masjid yang bermula semalam untuk membolehkan kerja-kerja itu dilaksana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Mat Azmi Arshad berkata, keputusan penutupan dibuat bagi mengelak berlakunya penularan wabak Covid-19, selain memudahkan prosedur nyahkuman di seluruh kawasan masjid.

"Arahan penutupan ini dibuat mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Susulan itu, semua aktiviti di masjid dibatalkan buat sementara waktu tetapi laungan azan tetap diteruskan pada setiap waktu solat oleh pegawai yang bertugas.

"Langkah pencegahan ini diambil demi keselamatan semua dan masyarakat tidak perlu cemas kerana kita sudah mengambil tindakan sewajarnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, tiga masjid dan surau di Terengganu ditutup sementara bagi proses sama, selain sebuah restoran makanan segera di Gong Badak.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 2:01pm
d