mutakhir

Larang tanam pokok ketum - polis

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Kerajaan negeri disyorkan melarang penanaman pokok ketum sebagai langkah membanteras kegiatan penyalahgunaan ketum yang semakin serius.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya hanya boleh mengesyorkan cadangan itu dan terpulang kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan mengikut Kanun Tanah Negara atau sebaliknya.

Katanya, sebagai permulaan polis sedia bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi menebang pokok ketum di kawasan itu sebagai langkah mengurangkan masalah ketum di negeri ini.

"Kedah berbeza dengan Perlis kerana banyak ketum ditanam di kawasan Felda, tetapi di sini kebanyakan pokok ditanam di tanah persendirian.

"Polis akan mengemukakan cadangan termasuk pindaan Kanun Tanah Negara kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dibentangkan bagi membolehkan kerajaan negeri menghalang penanaman ketum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Sesi Perbincangan Polis Kedah: Bahaya Ketum di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata, kegiatan penyalahgunaan ketum tidak akan selesai sekiranya pokok itu masih dibenarkan ditanam.

"Kita tidak nafikan masalah ketum ini serius, malah ada penjawat awam dan pelajar terbabit dalam penyalahgunaan air ketum.

"Ada juga yang memaklumkan air ketum boleh merawat sakit kencing manis atau memberi tenaga, tetapi itu hanyalah mitos," katanya.

Menurutnya, tahun lalu, polis Kedah merampas lebih 18.9 tan ketum dan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sejumlah 17.8 tan ketum sudah dirampas.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 5:06pm
d