itmetro

Aplikasi belajar di rumah

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Pandemik Covid-19 sememangnya mengubah landskap kehidupan harian dan hari ini, ibu bapa sudah mula cenderung untuk mengadaptasi sesi 'persekolahan di rumah' untuk mengurangkan risiko murid di sekolah.

Selain itu, ia juga dapat membantu murid untuk tidak ketinggalan dalam sesi pembelajaran terutamanya pada tahun ini apabila sekolah dan pusat asuhan terpaksa ditutup selama tiga bulan akibat penularan wabak termasuk terbaru di beberapa negeri yang dilanda gelombang ketiga Covid-19.

Sebenarnya, ibu bapa boleh memuat turun beberapa aplikasi berguna untuk anak mereka berusia di bawah sembilan tahun untuk melakukan aktiviti pembelajaran interaktif.

Kebiasaannya, kanak-kanak berusia sembilan tahun ke bawah cepat jemu dengan rutin pembelajaran menerusi buku jika di rumah sebaliknya lebih berminat kepada corak interaktif.

Bagi murid serta pelajar yang berusia 10 tahun ke atas, mereka sudah boleh mendisiplinkan diri dengan pembelajaran atas talian yang dilaksanakan hasil inisiatif guru dan sekolah berbanding murid tahap rendah.

Aplikasi ini juga akan menjadikan pembelajaran anak-anak di samping penggunaan gajet dapat dimanfaatkan daripada hanya menontot kartun saja.

#ITMetro minggu ini akan menyenaraikan beberapa aplikasi berguna untuk pembelajaran anak di rumah yang mempunyai ciri interaktif dan ia boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play.

MathBoard

Melihat nama kepada aplikasi ini sudah pasti ia berkaitan dengan subjek matematik yang sangat sesuai untuk kanak-kanak peringkat pembelajaran tadika dan sekolah rendah tahap satu.

Ia menggunakan konsep pengiraan mudah seperti tambah, tolak, darab dan bahagi dalam bentuk yang interaktif dan tidak membosankan.

Aplikasi ini juga sesuai untuk pelajar tahap dua ke atas dan operasi pengiraannya akan lebih kompleks mengikut tahap pembelajaran.

Amazing Animals Bundle

Aplikasi ini khusus untuk kanak-kanak berusia kurang enam tahun yang menjalani proses pengenalan kepada abjad, warna, bentuk dan rupa haiwan.

Ia juga dilengkapi dengan grafik pelbagai warna untuk menarik perhatian golongan sasar iaitu kanak-kanak berusia di bawah enam tahun.

Aplikasi ini mengandungi 180 haiwan dan ia berkonsep kepada aktiviti yang menyeronokkan termasuk 'gores dan kenal'.

Stack the Countries

Ini pula adalah aplikasi pengetahuan am untuk kanak-kanak memandangkan ia akan menampilkan nama negara, lokasi tumpuan di sesebuah negara, bandar-bandar utama dan pelbagai fungsi interaktif yang lain.

Pengenalan kepada negara luar adalah penting sebagai 'pembuka minda' anak-anak di usia awal supaya mereka lebih berpengetahuan dan tidak tertumpu dalam ruang kehidupan mereka saja.

Reading Racer

Aplikasi ini menggunakan sistem pengecaman suara pengguna dan konsepnya adalah anak-anak perlu membaca ayat yang ditunjukkan untuk memperoleh hadiah yang ditawarkan di dalam aplikasi itu.

Aplikasi berkenaan akan berinteraksi dan mendengar setiap perkataan yang diucapkan dan akan melakukan pembetulan kepada kesalahan yang dibuat.

Duolingo

Ia adalah aplikasi untuk bahasa dan asuhan di peringkat awal adalah kaedah terbaik untuk anak-anak menguasai sesuatu bahasa dengan cepat.

Duolingo ditawarkan secara percuma dan ia bukan saja untuk kanak-kanak malah boleh digunakan untuk orang dewasa seperti mempelajari English, bahasa Perancis atau Spanish.

Aplikasi ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk membantu kanak-kanak bercakap atau bertutur dengan bunyi sebutan yang betul selain mempelajari kaedah penulisan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 7:00am
    d