dekotaman

Kasih kekal terpahat

Oleh Nurul Husna Mahmud

MELIHAT setiap perkongsian yang dimuat naik Rafidah Afandi di Facebook mengenai tata hias kediamannya terletak di Kampung Temeris, Kuala Pilah, Negeri Sembilan mengundang rasa kagum.

Terutama sekali penataan di ruang dapur bagaikan berada dalam galeri sebuah muzium. Kediaman dua tingkat itu yang mempunyai enam bilik termasuk dua daripadanya dijadikan ruang bekerja dan juga stor simpanan baju pengantin tidak ubah seperti kapsul masa.

Konsep pilihan Rafidah pada mata penulis bukanlah biasa-biasa kerana kombinasi klasik pelbagai zaman membuatkan pemandangan seawal luar kediaman itu sudah boleh mengundang tetamu meninjau persekitarannya.

Menurut Rafidah, 'transformasi' itu berlaku sejak pertengahan 2019. Ia dilihat sebagai ekspresif dan terapi selepas kehilangan suami tercinta.

Katanya yang juga ibu kepada dua anak bujang, Putera Hafiz Haiqal, 21 dan Putera Ammar Irfan, 19, dia tergerak melakukan kerja menghias apabila melihat koleksi barang antik dan lama milik suaminya tersimpan begitu lama di dalam bilik.

"Masa arwah suami hidup, beliau gemar kumpul barang lama, ada sebahagian daripada rumah orang tuanya dan ada juga daripada keluarga saya.

"Tapi masa itu juga tidak terfikir untuk dekorasi guna barangan lama selain kurang berani dan akhirnya barang itu tersimpan serta terbiar lebih lima tahun dalam bilik kosong.

"Apabila arwah meninggal tahun lalu, saya kemas dan mula memanfaatkan setiap barang yang ada untuk hias ruang dapur.

"Cabarannya barang lama ini bukannya datang dalam satu kategori sama sebaliknya pelbagai menyebabkan saya perlu fikir dengan teliti ruang bagaimana dapat menyerlahkan setiap item selain tidak tampak serabut,"katanya.

Dapat dilihat pada sudut tertentu Rafidah meneliti padanan antaranya dapur minyak tanah diletak beiringan dengan dapur memasak, sementara sudut lain ada juga kipas lama, sempoa selain rangka basikal disertakan dengan raga dianyam.

Ada sebahagian seperti dulang lama, mesin air batu lama dan juga lampu gasolin turut diletakkan di sudut lain boleh dilihat sambil bersantai menjamu selera. Tidak ternampak suram sebaliknya dapur dikekalkan dengan sebahagiannya paparan bata merah membuatkan suasana sekitar begitu rustik.

Kata Rafidah, minatnya terhadap seni sangat autentik menyebabkan apa sahaja elemen dalam Melayu klasik turut dimuatkan dalam konsep dekorasi ruang berkenaan.

"Saya ini memang 'kaki' berangan dan mungkin itu banyak bantu dalam menata rias ruang dalaman ini. Saya jarang beli sesuatu baru sebaliknya gunakan barang sedia ada dan diberi penambah baikan supaya tampak produk itu baru.

"Sebagai contoh 'karya' saya menukar mesin jahit lama kepada meja solek dengan sedikit kerja pertukangan sambil dibantu ahli keluarga membuatkan ia tampak perabot baru dan sangat segar.

"Ada sesetengah idea saya kembangkan daripada paparan Pinterest. Namun keasliannya saya kekalkan menerusi elemen tradisi kemelayuan apatah lagi rumah ini berada dalam sebuah perkampungan Melayu,"katanya.

Tidak lupa mengenai amalan dalam setiap reka letak perabot atau aksesoridalam kediamannya, Rafidah mengakui perlu praktikal kerana itu akan membantu memberi kesan lebih dramatik kepada penataan ruang.

"Saya tidak akan sebarangan letakkan item atau sesuatu perabot terutama barang antik atau barang lama.

"Pada saya setiap barang itu ada penceritaan dan nilai sentimentalnya cukup tinggi membuatkan penggunaannya dimanfaatkan," katanya.

Kata Rafidah lagi, dalam menyeimbangkan konsep klasik termasuk klasik Inggeris ruang tamu, dia banyak menggunakan kayu selain warna bertemakan 'bumi' memastikan semua konsep itu 'harmoni'.

"Saya rasa disebabkan banyak guna warna berasaskan bumi seperti kelabu, perang dan sebagainya membuatkan hiasan keseluruhan ruang nampak ada kesinambungan meskipun ideanya berlainan.

"Satu lagi konsep saya cuba masukkan ialah pada tingkat dua rumah yang mana pada perancangan akan menempatkan perpustakaan mini dan ruang pejabat.

"Idea untuk ruangan itu pada saya mencabar sebab saya cuba bawa era primitif pula. Jadi banyak sikit kerja perlu dilakukan membabitkan hasil kraf yang mana saya memiliki skil itu untuk bantu mudahkan kerja menghias ruang berkenaan,"katanya.

Menyentuh impak daripada dekorasi rumah dilakukan, katanya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rumahnya itu sering dikunjungi tetamu dari serata tempat untuk melihat secara dekat ruang dalaman.

Kata Rafidah lagi, dia bernasib baik apabila bekerja sendiri iaitu menjahit sepenuh masa dan melakukan kerja andaman setiap hujung minggu membuatkannya mempunyai masa untuk memenuhi hobi menata rias ruang dalam kediamannya.

Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 6:20am
d