mutakhir

Mayat pekebun ditemukan di kaki Bukit Bendera

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Pekebun ditemukan meninggal dunia di Stesen Tengah Bukit Bendera, Ayer Itam, di sini, hari ini.

Mayat lelaki dikenali Chee Yew Huat, 57, itu ditemukan kira-kira 800 meter dari kaki Bukit Bendera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.49 pagi.

Katanya, kerja menurunkan mangsa membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dan anggota polis.

"Ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi, didapati pasukan perubatan mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia.

"Anggota bomba dan polis mendaki sejauh 800 meter ke lokasi mayat dalam usaha menurunkan mangsa," katanya.

Mayat mangsa diturunkan menggunakan pengusung sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut.

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 2:23pm
d