mutakhir

Ular sawa sepanjang 8 meter dalam reban

Oleh Rosli Ilham

Dungun: Misteri kehilangan ayam penduduk di Kampung Santong Paka terjawab selepas seekor ular sawa sepanjang lapan meter dan dianggarkan seberat 100 kilogram berjaya ditangkap, petang semalam.

Empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dungun terpaksa berhempas-pulas sebelum berjaya menjinakkan reptilia, kira-kira jam 4 petang.

Pegawai APM Daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, ular sawa itu ditemui di dalam reban ayam milik seorang penduduk kampung sebelum segera menghubungi bilik gerakan MERS 999.

Menurutnya, empat anggota APM dikerahkan ke lokasi dan mengambil masa selama sejam sebelum berjaya menangkap ular itu.

"Ketika anggota tiba, ular itu masih berada di dalam reban dan bertindak 'melawan' ketika anggota kami cuba menangkapnya.

"Ular sawa sepanjang lapan meter itu akhirnya berjaya ditangkap menggunakan alatan khas," katanya.

Menurutnya, ular itu yang terbesar dan terpanjang yang pernah ditangkap anggotanya.

"Kita bawa balik ular sawa itu ke pejabat APM Dungun sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 7:22pm
d