mutakhir

Bincang keperluan wujud pusat kuarantin di Pulau Omadal [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Keperluan sama ada untuk mewujudkan pusat kuarantin di Pulau Omadal, Semporna di Sabah akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), esok.

Ia susulan terdapat dakwaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) enggan mengambil risiko untuk menguruskan pesakit Covid-19 yang tidak mempunyai dokumen, namun menetap di pulau berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penelitian akan dilakukan secara menyeluruh dengan menitikberatkan faktor kesesuaian lokasi dan petugas.

"Ini membabitkan individu tidak berdokumen dan ia bukan semata-mata tanggungjawab KKM.

"Betul, KKM akan ambil tindakan terhadap mereka didapati positif Covid-19 dengan mengadakan saringan. Tetapi apabila membabitkan warga asing tidak berdokumen, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu dilibatkan.

"Tidak boleh sewenang-wenangnya kerana ia juga membabitkan masalah imigresen. Saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat khas, esok untuk dibincangkan (sama ada) untuk mewujudkan pusat kuarantin baharu di pulau berkenaan," katanya dalam sidang media, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang membuat persediaan bagi mengelak peningkatan penularan kes Covid-19 di negeri pantai timur Semenanjung yang mungkin mengharungi musim tengkujuh.

"Kita sedang meneliti kaedah terbaik untuk mengurangkan risiko jangkitan (Covid-19) ketika kerja pemindahan ke pusat penempatan sementara mangsa jika banjir terjadi.

"Pasti kita perlu buat persediaan dan faham kalau berlaku pemindahan (mangsa) banjir, mereka akan dihantar ke pusat penempatan sementara yang mana tidurnya dalam khemah... ramai serta tandas perlu dikongsi. Ini risiko (penularan Covid-19) bagi mangsa yang tinggal di situ," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 6:36pm
    d