mutakhir

Insya-Allah, kita akan tuduh - Ayob Khan

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes kemalangan kenderaan peronda polis (MPV) ketika mengejar penjenayah di Jalan Kangkar Tebrau, Kampung Kangkar Tebrau, di sini, Ahad lalu sebelum diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketika ini pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan itu yang mengakibatkan seorang anggota polis maut.

"Kita tengah menyiapkan kertas siasatan dan akan dipanjangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan tuduh. Insya-Allah kita akan tuduh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Pada Ahad lalu, polis berjaya menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia 24 hingga 27 tahun itu dalam tiga serbuan di sekitar Kampung Melayu Seelong, Senai dan Kampung Melayu Pandan, di sini.

Kesemua mereka direman sehingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, keadaan anggota yang cedera iaitu Lans Koperal Mohd Fadhirul Musa, 32, semakin pulih.

Katanya, anggota terbabit sudah sedar dan mula makan makanan lembut seperti bubur.

"Alhamdulillah, keadaan Mohd Fadhirul semakin baik... sudah boleh makan bubur, dia sudah sedar, Alhamdulillah," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, maut manakala rakan setugas parah dalam kemalangan apabila MPV polis terbalik selepas berlanggar dengan Perodua Aruz dipercayai ketika mengejar penjenayah di Jalan Kangkar Tebrau, Kampung Kangkar Tebrau, di sini, kira-kira 5 pagi pada Ahad lalu.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 4:38pm
d