mutakhir

Berjalan redah lumpur 25km untuk pulang ke kampung

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Seramai 20 pelajar Orang Asli terpaksa jalan meredah lumpur untuk pulang ke rumah mereka di Pos Gob, semalam, kerana jalan itu tidak boleh dilalui kenderaan.

Mereka yang juga pelajar sekolah menengah di bandar ini terpaksa berjalan sejauh 25 kilometer selama empat jam sebelum diambil bapa masing-masing dengan motosikal.

Difahamkan, selain jalan ke Pos Gob yang rosak teruk, masalah sama turut berlaku di Pos Balar, Simpor, Belatim dan Pos Bihai.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Gob, Disman Angah berkata, keadaan jalan semakin teruk pada musim hujan ketika ini dan ibu bapa terpaksa menemani anak mereka berjalan meredah laluan berlumpur kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, motosikal mereka terpaksa ditinggal di tepi hutan di jalan itu dan turut berjalan mengambil anaknya walaupun perjalanan jauh.

"Penduduk Orang Asli terpaksa mengusung motosikal menyeberangi sungai dilalui di jalan itu yang tidak mempunyai jambatan.

"Bagaimanapun, jika air sungai naik apabila hujan lebat, kami terpaksa menunggu dahulu sehingga air surut untuk menyeberanginya.

"Keadaan paling membimbangkan penduduk jika berlaku jalan runtuh dan boleh menyebabkan terputus hubungan hingga sukar keluar ke bandar ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff berkata, kerajaan meluluskan peruntukan bagi menaik taraf jalan itu.

Beliau berkata, kerja pembinaan dan menaik taraf jalan itu sedang dilakukan, tetapi ia terdedah dengan keadaan musim hujan tengkujuh sekarang.

"Memang jalan ke Pos Gob rosak teruk sejak beberapa bulan lalu hingga tidak boleh dilalui semua kenderaan dan kami mengambil perhatian terhadap perkara itu," katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2020 @ 4:33pm
d