mutakhir

Laung azan ketika ribut badai rumah [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Penduduk melaungkan azan bagi memohon perlindungan dan meredakan ketakutan, sebaik berlakunya ribut serta angin menyamai puting beliung di Kampung Kayu Ara, Mambau di sini, semalam.

Syahfizil Zuhairillah Shafie, 37, berkata, ketika situasi mencemaskan itu, dia dan keluarganya yang berada di luar rumah segera masuk dan melaungkan azan.

"Ribut membawa bersama hujan lebat pada jam 4.15 petang. Lebih menakutkan apabila angin kuat seperti puting beliung.

"Tidak tunggu lama, saya terus melaungkan azan dan dalam tempoh lima minit, angin menerbangkan atap rumah ibu bapa saya dan ahli keluarga berdekatan selain pokok tumbang.

"Ada pokok mangga yang tumbang di tepi rumah nyaris menghempap bumbung dapur," katanya ketika ditemui di rumah keluarga, hari ini.

Dia yang bekerja sebagai posmen bersyukur kerana tiada ahli keluarganya yang cedera walaupun hampir separuh atap rumah ibu bapanya rosak.

Ribut itu menyebabkan 56 rumah di Kampung Batu 3; Kampung Anak Air Garam; Kampung Kayu Ara; dan Taman Bukit Belida di Mambau di sini, mengalami kerosakan, menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kayu Ara, Mohd Farid Ahmad berkata, sebanyak 21 rumah, surau dan kedai di kampung itu rosak, manakala pokok tumbang di banyak kawasan termasuk tanah perkuburan Islam.

"Ribut bersama puting beliung tidak pernah berlaku dan kejadian semalam luar biasa sekali. Syukur tiada warga kampung yang mengalami kemalangan jiwa.

"Kami juga berterima kasih kepada kerajaan kerana segera membantu penduduk terjejas dan melantik kontraktor untuk pembaikan rumah," katanya.

Berita berkaitan

20 rumah rosak akibat ribut

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 2:07pm
d