Bola Sepak

Algeria sah tempat ke Piala Negara Afrika 2021

Oleh AFP

Johannesburg: Sayap Manchester City, Riyad Mahrez meledak gol ketika penyandang juara, Algeria seri 2-2 di Zimbabwe dan menjadi negara ketiga mengesahkan tempat di Piala Negara Afrika 2021.

Cameroon layak secara automatik sebagai tuan rumah dan Senegal mengesahkan tempat semalam dengan kemenangan di Guinea-Bissau hasil jaringan tunggal Sadio Mane.

Andy Delort dan Kapten, Mahrez memberikan skuad Desert Foxes kelebihan dua gol di Harare sebelum Knowledge Musona merapatkan kedudukan jaringan sebelum rehat separuh masa pertama.

Jurulatih Algeria, Djamel Belmadi merehatkan Delort dan Mahrez ketika melakukan lima pertukaran pemain pada separuh masa kedua dalam tempoh 12 minit, namun tindakan itu membawa padah apabila Prince Dube berjaya menyamakan kedudukan lapan minit sebelum tamat permainan.

Keputusan seri itu menamatkan rekod cemerlang Algeria dengan tiga kemenangan namun mengesahkan tempat dalam kelompok dua teratas dalam kumpulan yang turut membabitkan Zambia dan Botswana.

Keputusan penentuan pasukan mana yang akan menyertai juara bertahan itu di Cameroon dari Kumpulan H kemungkinan ditentukan pada perlawanan terakhir yang dijadualkan Mac depan apabila Zimbabwe melayan kunjungan Zambia.

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 8:38am
d