mutakhir

Mujur pekerja penyelenggara lebuh raya tak maut!

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Empat kakitangan penyelenggara lebuh raya nyaris maut apabila kenderaan mereka dilanggar sebuah pacuan empat roda di Kilometer 9.3, Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) di sini, hari ini.

Kenderaan mereka itu dikatakan berhenti di tepi lebuh raya untuk menjalankan kerja penyelenggaraan sebelum dilanggar pacuan empat roda itu.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian berlaku pada 2.40 petang membabitkan sebuah kereta, pacuan empat roda dan sebuah lori penyelenggara lebuh raya.

Menurutnya, kemalangan itu berpunca apabila sebuah Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia lingkungan 30-an hilang kawalan sebelum memasuki lorong kanan lebuh raya terbabit.

"Kereta itu kemudiannya melanggar sebuah pacuan empat roda yang berada di lorong kanan dari arah sama.

"Ia menyebabkan pemandu pacuan empat roda terbabit hilang kawalan lalu melanggar lori penyelenggara lebuh raya yang sedang berhenti," katanya.

Menurutnya, ia menyebabkan tiga pekerja syarikat penyelenggara lebuh raya itu cedera. Pemandu pacuan empat roda terbabit turut cedera dalam kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 10:29pm
d