mutakhir

Kerajaan tidak pinggir pemandu teksi

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak meminggirkan golongan pemandu teksi yang terkesan sehingga pendapatan terjejas akibat penularan Covid-19.

Sebaliknya, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, golongan itu antara yang dibantu menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

"Untuk makluman Yang Berhormat, pihak kerajaan sudah mengumumkan Pakej PRIHATIN untuk membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

"Antara bantuan diumumkan adalah, bantuan tunai sekali bayar RM600 kepada pemandu teksi, RM500 kepada pemandu e-hailing, RM600 kepada pemandu bas persiaran dan RM600 kepada pemandu bas sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, portal MyMetro hari ini melaporkan, industri pengangkutan awam darat, khususnya teksi dan limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), nazak.

Tempias impak negatif itu terjadi apabila virus Covid-19 menular ke Malaysia sehingga kerajaan terpaksa menutup sempadan serta melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dalam usaha memutuskan penularan.

KLIA yang pernah berada di tempat ke-12 daripada 20 lapangan terbang paling banyak disambungkan di seluruh dunia selain tempat ketiga untuk Asia Pasifik oleh Indeks Megahub Antarabangsa OAG 2018, kini bertukar lesu dan suram.

Hampir semua pemandu teksi dan limosin KLIA yang ditemui pada tinjauan Harian Metro di lapangan terbang itu menyifatkan mereka umpama mengais rezeki dalam industri tenat berikutan jumlah penumpang merosot mendadak.

Malah, ada yang terpaksa berfikir panjang untuk makan akibat punca rezeki mereka sebagai pemandu teksi dan limosin di KLIA merudum teruk.

Berita berkaitan

  • Nak makan pun kena fikir panjang... [METROTV]
  • Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 4:41pm
    d