mutakhir

40 jemaah solat Jumaat di zon merah, jingga di Sabah

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Semua masjid dan surau dalam zon merah dan jingga wabak Covid-19 di Sabah dibolehkan beroperasi dengan kehadiran sehingga 40 jemaah bagi menunaikan solat Jumaat bermula lusa.

Bagi solat fardhu lima waktu, masjid dan surau di kawasan itu dibenar mengadakan solat berjemaah dihadiri sehingga 30 orang, bermula hari ini.

Kebenaran itu dimaklumkan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bongsu Aziz Jaafar dalam satu kenyataan mengenai kebenaran menunaikan ibadat di masjid dan surau bagi negeri Sabah.

Kebenaran itu berkuatkuasa hari ini hingga 6 Disember depan selaras kelonggaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu.

"Bilangan jemaah solat lima waktu di masjid dan surau yang dibenarkan bagi zon merah dan jingga adalah 30 orang sahaja, manakala bilangan jemaah solat Jumaat 40 orang sahaja," katanya.

Dua minggu lalu, masjid dan surau dalam zon merah dan jingga hanya dibenarkan mengadakan solat berjemaah dengan kehadiran tiga orang selepas sebulan larangan aktiviti ibadat di masjid dan surau berikutan PKPB.

Sehingga semalam, sebanyak 13 daerah dikategorikan sebagai zon merah iaitu Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan, Tuaran, Kota Belud, Beluran, Penampang, Tawau, Beluran, Keningau, Semporna, Putatan, Kudat dan Papar, manakala dua daerah zon jingga iaitu Beaufort dan Pitas.

Mulai esok, semua masjid dan surau dalam zon kuning serta hijau dibenarkan beroperasi dengan kehadiran satu pertiga daripada kapasiti ruang ibadat bagi solat Jumaat, manakala sehingga 40 orang bagi solat fardhu lima waktu.

Daerah dalam zon kuning ialah Kunak, Kota Marudu, Sipitang, Tenom, Ranau, Kinabatangan dan Telupid, Kuala Penyu, Tongod dan Tambunan, manakala daerah dalam zon hijau ialah Nabawan.

Bagaimanapun, Bongsu berkata, aktiviti lain selain solat Jumaat, solat fardhu lima waktu dan bacaan surah Yassin sebelum atau selepas solat adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, masjid dan surau di seluruh negeri perlu melaksanakan semua panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, masjid dan surau terpilih hendaklah dibuka mengikut masa ditetapkan bagi orang bermusafir atau orang awam yang ingin melaksanakan solat fardhu lima waktu dengan menjaga disiplin diri dan mematuhi semua SOP dikeluarkan pihak berwajib.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 11:02am
d