mutakhir

Suspek pecah gim ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Empat lelaki ditahan semalam selepas terbabit dalam kejadian pecah pusat gimnasium di daerah ini, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian jam 5.58 pagi itu, penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki memasuki premis itu di Lebuh Bandar Utama, di sini, melalui tangga kecemasan tingkat bawah dan mengambil barangan di dalam premis itu.

Menurutnya, hasil risikan kemudian membuat serbuan jam 1 tengah hari semalam di sebuah flat di Kayu Ara dan menahan dua lelaki berusia 19 dan 22 tahun disyaki terbabit dalam kejadian itu.

"Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah premis terbabit.

"Penahanan mereka ini berjaya menyelesaikan tiga kes pusat gim di daerah ini dan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai lapan kes jenayah, manakala suspek kedua memiliki empat kes jenayah dengan satu rekod orang dikehendaki mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Kemudian pada jam 4.30 petang, polis membuat dua lagi serbuan berasingan di Pelangi Damansara dan Flora Damansara.

"Dua lelaki berusia 18 tahun dan 40 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian sama," katanya.

Beliau berkata, komputer riba turut dirampas di mana semakan mendapati suspek keempat mempunyai tigakes jenayah dan enam kes dadah.

"Suspek pertama dan kedua direman seminggu sementara dua lagi suspek direman dua hari mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 8:43pm
d