rencana

'Bro, sudah-sudahlah tipu orang'

Oleh Saipul Adli Mohamad

Pagi Rabu minggu lalu, saya menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali, 018-4776557 dan menjawabnya: "Hello, hello."

Bagaimanapun, jawapan saya itu disambut 'mesin suara' menyatakan saya mempunyai tunggakan cukai LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan perlu menekan nombor 9 untuk bercakap dengan pegawai berkaitan.

Saya sudah mengagak ia panggilan daripada penipu dan bagi sindiket Macau Scam, mereka biasanya membuat panggilan menggunakan talian sistem telefon Suara Melalui Protokol Internet (VoIP).

Memandangkan ada masa terluang, saya menekan nombor 9 seperti diarahkan untuk melihat sejauh mana akan 'digoreng' dan panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki.

Sebenarnya sudah banyak kali saya menerima panggilan telefon daripada 'mesin suara' yang memberitahu ada saman tertunggak, cukai tidak dibayar dan barang tidak boleh dihantar serta perlu menekan nombor tertentu untuk bercakap dengan pegawai.

Bagi saya, kita perlu yakin jika memang tidak bersalah dan kepincangan pertama mereka boleh dikesan ketika menjawab panggilan disambung itu, misalnya: "Ya, kenapa telefon ke sini?"

Mungkin pada peringkat ini, dia mahu saya menyatakan ada masalah cukai tertunggak seperti dinyatakan mesin suara itu, lalu meminta nombor kad pengenalan dan sebagainya daripada saya.

Tetapi, saya menjawab: "Eh, kau yang telefon aku. Kenapa tanya sebab apa aku telefon kau pula. Peliknya kau ni..."

Berikutan jawapan saya yang mempersoalkan sebab panggilan itu, lelaki terbabit kemudian menyatakan akan menyambung panggilan kepada seorang lelaki kononnya 'Datuk'.

'Datuk' terbabit kemudian berkata: "Ada apa telefon ke sini?" Tetapi, suaranya yang sengau seakan-akan berlakon itu menyebabkan saya hampir ketawa dan terus mempermainkannya.

Saya bertanya: "Kenapa kau bercakap dengan hidung, tak ada mulut ke? Suara kau sengau lain macamlah, berlakon ke apa ni? Cakap betul-betul boleh tak?"

Saya kemudian mengulangi dialog serta provokasi itu beberapa kali dan rasanya, 'Datuk' itu sudah mula marah!

Lalu dia berkata: "Ini telefon nak minta tolong ke nak kena pukul?" Jelas, jawapannya semakin kelakar serta bercelaru dan saya terus memberikan tekanan apabila menyatakan mahu dipukul.

Dia menjawab: "Kalau nak kena pukul, datang ke sini, Cyberjaya." Bila saya bertanya di manakah lokasi di Cyberjaya, 'Datuk' terbabit mempersoalkan saya dengan berkata: "Takkan Cyberjaya pun tak tahu, kau orang mana ni..."

Saya terus memberikan kata putus: "Bro, sudah-sudah la tipu orang. Lambat-laun, kau mesti kena. Kalau kau tak kena sekarang, nanti mati kau akan kena. Kalau tak pun, mak bapak, adik-beradik, anak atau bini kau mesti kena," sebelum saya memutuskan talian terbabit.

Mujur, sedikit pengetahuan dan kekerapan membaca berita berkaitan penipuan menerusi kaedah panggilan telefon seperti ini membantu saya berdepan permainan psikologi ini.

Namun, bagi sesetengah orang, panggilan menerusi VoIP itu sudah boleh mencemaskan, menimbulkan rasa takut dan menggelabah sehingga termakan umpan pancing sindiket penipuan terbabit.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 5,218 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian RM256 juta di negara ini sejak Januari hingga Oktober lalu.

Sebahagian besar mangsa adalah warga emas, namun ada mangsa penipuan membabitkan golongan profesional seperti pensyarah, doktor selain pegawai bank.

Memang kasihan dan simpati apabila setiap membaca berita mengenai mangsa penipuan ini, terutama warga emas. Mereka sepatutnya menikmati tempoh berpencen dengan sejumlah wang disimpan hasil daripada kerja keras sebelum ini.

Malangnya, ia melayang sekelip mata akibat terpedaya dan dalam sebahagian kes, jumlahnya bukan sedikit. Bekalan kewangan itu sepatutnya dinikmati di penghujung usia, tetapi lain pula jadinya.

Kurang pengetahuan, mudah percaya, takut dan tidak membuat semakan dikenal pasti punca utama seseorang individu menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob dilaporkan berkata, pihaknya kerap kali mengingatkan orang ramai bahawa pihak berkuasa, agensi kerajaan atau agensi kewangan tidak akan melakukan urusan penting melalui panggilan telefon.

Beliau menegaskan, ramai kurang pengetahuan mengenai prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa, institusi perbankan dan lain-lain, misalnya mana-mana agensi kerajaan atau pihak bank tidak akan menggunakan akaun individu untuk pemindahan wang.

Katanya, contoh lain adalah polis tidak sesekali berurusan melalui panggilan telefon dan mengarahkan mana-mana pihak memindahkan wang ke institusi lain termasuk atas 'kesalahan' jenayah dilakukan.

"Kebanyakan mangsa terlalu mudah percaya dengan 'cerita' disampaikan sindiket walaupun menyedari mereka tidak melakukan kesalahan dinyatakan," katanya.

Oleh itu, perkara paling penting adalah kesedaran diri kita sendiri berhubung jenayah siber ini kerana penjenayah hanya menggunakan telefon untuk menipu dengan mudah.

Yakin dengan diri sendiri jika berasakan tidak bersalah. Usah mudah panik atau percaya, sebaliknya semak dulu dengan pelbagai pihak sebelum terperangkap dengan helah sindiket terbabit.

Jangan sampai meminjam semata-mata mahu membayar saman atau denda akibat 'diugut' scammer itu. Sepatutnya maklumkan kepada polis jika mendapat panggilan meragukan atau paling elok, jangan layan terus panggilan mesin suara itu.

Penulis Penolong Pengarang Berita, Harian Metro

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 6:00am
d