Sukan Lain

KBS komited pastikan penganjuran kejohanan sukan

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited dalam memastikan penganjuran kejohanan sukan tempatan dan antarabangsa dapat dilaksanakan semula tahun depan menerusi pengenalan gelembung sukan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kementerian sedang mengkaji beberapa model gelembung sukan yang digunakan di luar negara termasuk pertandingan bola sepak pada ketika ini.

"Banyak (model gelembung sukan) yang boleh digunakan, tetapi saya tidak mahu terburu-buru. Biarlah kajian menyeluruh dijalankan dan pada waktu ini pelbagai pemegang taruh sukan telah dipanggil termasuk Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) serta mereka yang terbabit dalam sektor pelancongan sebab ada kejohanan sukan membabitkan penyertaan atlet luar negara," katanya.

Baru-baru ini, Reezal Merican berkata KBS sedang mengusahakan satu model gelembung sukan yang akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha membolehkan penganjuran pertandingan sukan dapat diadakan di negara ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Reezal Merican berkata KBS akan mengumumkan Pesuruhjaya Sukan baharu dalam tempoh terdekat selepas mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kekosongan jawatan Pesuruhjaya Sukan berikutan penyandangnya Dr Wirdawati Mohd Radzi mengambil keputusan untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya pada Oktober lalu.

Pensyarah Universiti Malaya (UM) itu dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan pada Julai 2019 bagi menggantikan tempat Datuk Zaiton Othman yang bersara wajib.

Terdahulu, Reezal Merican menyaksikan catatan rekod baharu timbangan bola terbanyak dengan menggunakan kaki oleh pelatih Akademi Tunas, Hulu Selangor, Danniel Aqashah Rakmatulla di lobi KBS.

Catatan 202 kali timbangan bola yang direkodkan oleh pelajar berusia 12 tahun itu dimasukkan sebagai rekod baharu Malaysia Book of Records.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 10:41pm
d