vroom

Tranformasi maksimum

Oleh Lizam Ridzuan

PASARAN sedan segmen-C tempatan dimeriahkan dengan pengenalan model Hyundai Elantra Serba Baharu generasi ke-7 yang bakal tiba pertengahan bulan ini.

Transformasi rekaan menyeluruh itu direka melalui konsep 'Futuristic Parametric Dynamics' untuk menghasilkan gaya tiga dimensi seperti potongan berlian.

Untuk lampu hadapan, ia didatangkan dengan projektor LED dan Bantuan Pancaran Jauh Pintar.

Kombinasi LED pada bahagian belakang pula didatangkan dengan elemen rekaan gaya bentuk 'H'.

Selain rekaan, Elantra juga model Hyundai pertama dilengkapi transmisi pintar yang menawarkan prestasi dan penggunaan bahan api efisien.

Ia dipadankan enjin petrol MPi G1.6 Smartstream 1,598cc empat silinder yang menjana kuasa 123PS pada 6,300rpm dan tork 154Nm pada 4,500rpm.

Trenkuasa ini juga dibangunkan oleh Hyundai Motor sebagai respons kepada usaha membantu menjaga alam sekitar dengan emisi rendah. Pada masa sama, menyediakan kenderaan yang seronok untuk dipandu.

Untuk pengalaman pemanduan lebih menarik, ia turut dilengkapi Transmisi Pembolehubah Pintar (IVT) lapan kelajuan bagi pertukaran gear lancar dan responsif dengan empat mod pemanduan iaitu Eco, Smart, Sport dan Comfort.

Berbanding kotak gear konvensional CVT, ciri ini juga melihatkan peningkatan 4.2 peratus dalam penjimatan bahan api dan lima hingga lapan peratus pengurangan kehilangan kuasa enjin.

Pada bahagian kabin, disediakan 'immersive cocoon' ciri teknologi termaju meter bersaiz 10.25 inci TFT Supervision dan paparan infotainmen 'terapung' bersaiz lapan inci untuk menambah gaya futuristik pada model ini.

Sistem keselamatan terbaik juga ditawarkan untuk Elantra Serba Baharu ini dengan Hyundai SmartSense seperti Bantuan Mengelak Perlanggaran Hadapan (FCA), Bantuan Mengelak Perlanggaran Titik Buta (BCA), Kawalan Pelayaran Pintar (SCC) dan Bantuan Mengelak-Perlanggaran Trafik Melintas Belakang (RCCA).

Dipasarkan di negara ini oleh Hyundai-Sime Darby Motor (HSDM) dengan slogan 'Geared for Distinction', Elantra juga mencerminkan peralihan jenama ini untuk lebih menonjol.

Bermula detik penghasilan sehingga ke produk akhir, ia juga menjadikan setiap kenderaan Hyundai menawarkan kejuruteraan dan prestasi termaju dan ada antaranya tidak ditawarkan pada model segmen mewah.

Tiada pengumuman harga rasmi lagi daripada HSDM sebagai pengedar utama jenama Hyundai di Malaysia namun tempahan untuk Elantra Serba Baharu ini sudah dibuka dengan bayaran deposit RM777.

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 6:40am
d