global

Umat Islam Xinjiang dipantau jaringan elektronik

Oleh AFP

Beijing: Umat Islam di Xinjiang, China kini disaring secara berterusan tanpa mempedulikan hak asasi mereka menggunakan teknologi data raya.

Badan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) berkata, jaringan elektronik diguna bagi mengesan sebarang tingkah laku mencurigakan, yang dijadikan alasan untuk menahan mereka.

HRW, dalam satu laporan memperincikan peranan data raya dalam penindasan di wilayah itu, turut mendedahkan data polis yang menyenaraikan lebih 2,000 tahanan dari wilayah Aksu sebagai antara bukti penindasan.

"Ini membuktikan bagaimana penindasan dahsyat China terhadap umat Islam Uighur dan etnik minoriti Turkic lain di Xinjiang kini semakin canggih dengan teknologi.

"Perbelanjaan pemantauan elektronik China di Xinjiang melonjak sejak beberapa tahun lalu berikutan pembelian alat pengesan wajah, pengimbas mata, pengumpul DNA dan kecerdasan buatan (AI), atas alasan mencegah keganasan," katanya.

HRW mendakwa memiliki senarai memperincikan tahanan sejak pertengahan 2016 hingga akhir 2018 daripada sumber tidak dinamakan, yang sebelum ini turut mendedahkan kandungan audio visual dari sebuah fasiliti di Aksu.

Puan T, seorang mangsa yang dikenalpasti NGO itu ditahan kerana 'ada kaitan dengan negara dianggap sensitif' dan dituduh menerima beberapa panggilan telefon daripada nombor dari negara asing, yang sebenarnya adalah nombor kakaknya.

Menurut aktivis NGO yang menemui wanita itu, polis menyoal siasat kakaknya di Xinjiang, namun dia tidak dapat berhubung secara langsung dengan keluarganya di wilayah berkenaan sejak itu.

Penduduk juga diawasi menerusi program Pentas Operasi Bersama Bersepadu, yang mengumpul data sistem pemantauan di Xinjiang untuk diteliti pihak berkuasa sebelum memutuskan sama ada mahu menghantar mereka ke kem tahanan.

Menurut HRW, majoriti penduduk ditahan kerana melakukan perkara yang tidak menyalahi undang-undang termasuk menghubungi saudara di luar negara, tidak memiliki alamat tetap dan menukar telefon berulang kali.

Hanya kira-kira 10 peratus individu dalam senarai itu yang ditahan itu benar-benar melakukan kesalahan atau keganasan.

Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 9:56pm
d