Bola Sepak

Mertens rehat tiga minggu

Oleh AFP

Milan: Pemegang rekod jaringan Napoli, Dries Mertens tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya tiga minggu selepas mengalami kecederaan buku lali kiri.

Perkara berkenaan disahkan kelab Serie A selepas pemain antarabangsa Belgium itu terhincut-hincut pada separuh masa pertama ketika kalah 0-1 kepada Inter Milan Rabu lalu.

"Ujian menunjukkan dia mendapat kecederaan terseliuh di bahagian buku lali kiri tahap satu atau dua.

"Mertens sudah memulakan proses pemulihan yang akan bersambung di Belgium ketika tempoh perayaan Krismas. Tahapnya akan dinilai semula dalam tempoh tiga minggu," kata Napoli dalam satu kenyataan.

Mertens akan terlepas empat aksi liga bersama Napoli, menentang Lazio dan Torino sebelum Krismas dan Cagliari serta Spezia pada minggu pertama Januari ini.

Pasukan bimbingan Gennaro Gattuso itu berada di tangga keempat Serie A, lima mata di belakang pendahulu AC Milan.

Mertens sudah meledak 130 gol bersama Napoli sejak menyertai kelab berkenaan dari PSV Eidhoven pada 2013, termasuk lima gol musim ini dalam semua kejohanan.

Disiarkan pada: December 18, 2020 @ 1:23pm
d