Bola Sepak

Moukoko pahat sejarah tapi Dortmund kalah

Oleh AFP

Berlin: Peluang Borussia Dortmund untuk merangkul gelaran juara Bundesliga sedikit terjejas apabila mereka tumpas 1-2 kepada Union Berlin awal pagi tadi iaitu hari yang sama buat penyerang, Youssoufa Moukoko memahat nama sebagai penjaring gol termuda liga.

Selepas pemain yang dipinjam dari Liverpool, Taiwo Awoniyi menanduk masuk gol pendahuluan Union pada awal separuh masa kedua, Moukoko mencipta sejarah dengan menjadi penjaring termuda pada usia 16 tahun 28 hari apabila berjaya menyumbang gol penyamaan.

Moukoko memadamkan rekod lama dilakukan pemain Bayer Leverkusen, Florian Wirtz, yang ketika itu berusia 17 tahun 34 hari ketika menentang Bayern Munich Jun lalu.

Bagaimanapun, kegembiraan Moukoko tidak bertahan lama apabila gawang Dortmund sekali lagi bolos berpunca dari sepakan sudut apabila pertahanan tengah Union, Marvin Friedrich menanduk masuk gol kemenangan ketika perlawanan berbaki 12 minit untuk ditamatkan.

"Kami sekarang ini sudah mencatat dua kekalahan yang berpunca dari 'set piece' ia satu malapetaka.

"Kami sebenarnya mengalahkan diri sendiri, ia sepatutnya tidak dibenarkan berlaku," kata pertahanan Dortmund, Mats Hummels.

Ini adalah kekalahan kelima Dortmund musim ini, menyaksikan mereka berada di tangga keempat, enam mata di belakang pendahulu, Leverkusen yang akan menanti kunjung Bayern Munich awal pagi esok.

Union yang berjaya mengikat juara Eropah, Bayern 1-1 dalam aksi sebelum ini di tempat sendiri melonjak ke tangga kelima, hanya kurang satu mata di belakang Dortmund.

Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 7:58am
d