mutakhir

Dua bot nelayan tempatan, 9 Pati ditahan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan tempatan kelas C selepas didapati melanggar syarat sah lesen di dua lokasi berasingan di perairan Pulau Jarak, di sini, kelmarin.

Turut ditahan, sembilan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berkerja di bot berkenaan dan dua lelaki tempatan yang juga tekong bot.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, mereka ditahan Kapal Maritim (KM) Gagah ketika rondaan Op Benteng di kedudukan 4.9 hingga 5.3 batu nautika barat laut Pulau Jarak pada 2.50 petang hingga 3 petang.

"Pemeriksaan mendapati dua bot pukat tunda itu melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen dan menangkap ikan di zon yang tidak dibenarkan.

"Seramai empat kru bot warga Indonesia dan lima warga Myanmar turut didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shahrizan berkata, kedua-dua bot bersama 11 kru berusia antara 23 hingga 53 tahun itu diiringi ke jeti Kampung Acheh untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, APMM akan bertindak tegas terhadap bot nelayan tempatan yang didapati menceroboh zon penangkapan ikan ditetapkan dalam syarat lesen serta menggajikan warga asing secara salah seperti mana peruntukan undang-undang dan peraturan.

Disiarkan pada: December 28, 2020 @ 9:48pm
d