mutakhir

Bapa dituduh lakukan amang seksual terhadap 2 anak kandung

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak kandungnya.

Tertuduh berusia 39 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin dan tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual pada seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang juga anak kandungnya, pada jam 5 petang di sekitar Machang, 1 Disember lalu.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual pada anak perempuannya yang sama di lokasi sama, jam 11 malam pada 2 November lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 dan dibacakan bersama Seksyen 16 akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi anak perempuan kandung, juga di sekitar Machang, jam 5.30 petang pada Februari 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibacakan bersama Seksyen 16 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Syed Muhammad Syafiq memohon jaminan diberikan namun mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 31 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: December 30, 2020 @ 2:17pm
d