mutakhir

Bekalan air 63 lokasi dijangka pulih esok

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerja pembaikan paip terputus yang mengakibatkan gangguan bekalan air membabitkan 43 lokasi di Petaling dan 20 lokasi di Kuala Lumpur susulan tanah runtuh di Damansara Utama di sini berjalan lancar dan dijangka siap awal pagi esok.

Kenyataan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan setakat 4 petang ini, kerja-kerja pembaikan paip tersebut mencapai 54 peratus siap sejak dimulakan pada 12.30 tengah malam tadi.

"Kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada 6 pagi esok.

"Kerja pembaikan dilaksanakan dengan mengalih sementara paip bersaiz 1000 milimeter yang mana paip ini akan diletakkan di atas bahu jalan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) untuk menyegerakan pengagihan bekalan air kepada para pengguna yang terjejas," menurut kenyataan itu.

Air Selangor turut memaklumkan bantuan bekalan air melalui lori tangki sedang digerakkan ke kawasan terbabit bagi membantu pengguna yang terjejas.

"Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air alternatif melalui tangki statik yang diletakkan di dua Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang telah disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terbabit.

"Air Selangor menasihati para pengguna untuk mematuhi peraturan Pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki dan PKS yang disediakan," katanya.

Pada masa sama, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan kerja-kerja pembaikan paip pecah tersebut dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi termasuk laman sesawang www.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Disiarkan pada: December 30, 2020 @ 7:52pm
d