Bola Sepak

Anugerah bakar semangat Eky

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kejayaan dinobatkan selaku Penyerang Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20) nyata membakar jiwa dan motivasi penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi untuk tampil lebih tajam pada musim ini.

Shahrel Fikri atau lebih dikenali dengan panggilan Eky membuktikan bahawa penyerang tempatan juga memiliki kualiti tersendiri untuk mengenepikan awang import yang mendominasi posisi penyerang dalam setiap pasukan.

Ketajamannya di depan gol sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi apabila berjaya meledak sebanyak 10 gol dalam 11 aksi musim lalu di mana dia turut mengungguli kategori Penjaring Terbanyak Tempatan dalam Liga Super.

Dia yang akan menyarung jersi Selangor FC musim ini mengakui terkejut dengan pengiktirafan itu dan menjelaskan dirinya akan tampil lebih bermotivasi untuk musim baharu ini.

"Terima kasih kepada rakan sepasukan saya yang banyak membantu saya dan jurulatih semua. Untuk calon anugerah Penyerang Terbaik ini adalah satu penghormatan untuk saya.

"Saya harap dengan anugerah ini dapat memberi motivasi kepada saya untuk jadi lebih baik dan sentiasa akan berikan yang terbaik.

"(Anugerah Penyerang Terbaik) Untuk menjadi ikutan kepada pemain-pemain muda yang lain, terima kasih sekali lagi, saya sangat gembira dan terima kasih," kata penyerang skuad Harimau Malaya itu.

Pada Majlis ABK itu, Shahrel memecahkan dominasi juara tujuh kali Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berjaya membolot lima daripada 12 anugerah yang dipertandingkan.

Penjaga gawang JDT, Farizal Marlias dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik disusuli Aidil Zafuan Abd Radzak dinobatkan sebagai Pertahanan Terbaik dan Safawi Rasid mengungguli kategori Pemain Tengah Terbaik.

Dua lagi anugerah yang dimenangi skuad Harimau Selatan menerusi ketua jurulatihnya, Benjamin Mora yang dipilih sebagai Jurulatih Terbaik selain JDT turut menutup tirai musim ini dengan penuh gemilang selepas dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik.

Bagi anugerah Kasut Emas dan Penjaring Terbanyak Liga Super pula menjadi milik Ifedayo Omosuyi yang meledak 12 gol bersama Selangor, manakala penyerang Pulau Pinang, Casagrande yang menghasilkan sembilan jaringan dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Liga Perdana.

Turut mencuri perhatian, penyerang muda Selangor II, Danial Asri yang meraih gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana dengan ledakan tujuh gol.

Untuk kategori utama iaitu anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP), ia menjadi milik pemain ke-12 iaitu seluruh penyokong Liga Malaysia (Liga M) yang sepanjang musim lalu tidak putus-putus memberi sokongan menerusi tontonan kaca televisyen dan media sosial selepas tidak dibenarkan hadir ke stadium ekoran pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: December 31, 2020 @ 10:56pm
d