mutakhir

Warga emas ditemukan meninggal dunia

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Bukit Mertajam: Warga emas berusia 62 tahun ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Apartmen Permata, Bandar Perda, di sini, semalam.

Mayat Rokiah Man ditemui sepasukan anggota bomba yang memecah pintu jeriji rumahnya pada jam 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mayat itu dikesan selepas mendapat aduan daripada jiran mengenai bau kurang menyenangkan dari rumah terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati warga emas itu tinggal bersendirian dan kali terakhir ditemui penduduk pada petang Isnin lalu.

"Jiran mangsa ada bertemu dengannya ketika wanita itu sedang menaiki tangga pulang ke rumah dan menyatakan dia penat.

"Itu perbualan mereka yang terakhir sebelum wanita itu tidak lagi ditemui di luar rumah atau kawasan berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Shafee berkata, pemeriksaan pada badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah.

Mayat dibawa ke Hospital Bukit Mertajam bagi bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)

Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 2:51pm
d