mutakhir

Diuji bila ketua keluarga diserang angin ahmar [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Kehidupan lima beranak berubah sepenuhnya apabila berdepan situasi sukar selepas ketua keluarga mereka diserang angin ahmar sejak sebulan lalu.

Suri rumah Rosilawati Yacob, 48, berkata suaminya, Mohd Nasir Mat Hassan, 59, hanya mampu mengengsot kerana lumpuh dari paras pinggang ke bawah pada Disember lalu.

Katanya, sejak suaminya sakit, perbelanjaan keluarga ditanggung oleh anak sulungnya, Muhammad Khuzairi, 19, yang bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu.

"Suami ada mencadangkan supaya Muhammad Khuzairi menggantikannya sebagai tukang kebun di sekolah tempatnya bekerja untuk sementara waktu sehingga dia pulih, namun perlu dibincangkan dengan majikan terlebih dahulu.

"Dalam pada itu, saya juga mempunyai dua anak orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran iaitu Muhammad Luqman, 15, yang belajar di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temangan dan Nur Balqis Azzahara, 10, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh Rawa.

"Bagaimanapun, beban yang ditanggung sedikit ringan apabila Muhammad Luqman mendapat bantuan RM150 sebulan, manakala Nur Balqis pula memperoleh RM900 setahun yang boleh digunakan untuk perbelanjaan persekolahan mereka," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paloh Rawa, di sini, semalam.

Sementara itu, Muhammad Khuzairi berkata, dia sanggup berkorban untuk ibu bapa dan adik-adiknya supaya nasib mereka tidak terabai walaupun menjalani kehidupan serba daif.

"Sebelum ini saya bekerja di sebuah kilang, namun disebabkan pandemik Covid-19, saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan kebetulan pada Disember lalu ayah pula diserang angin ahmar.

"Mujurlah sekarang ini saya berada di rumah dan boleh membantu ibu menguruskan ayah terutama ketika memandikannya kerana ayah perlu diangkat setiap kali hendak meletakkannya di atas kerusi roda.

"Jadi bagi menampung keperluan keluarga, saya hanya melakukan kerja kampung seperti memotong rumput. Namun, saya bersyukur kerana masih ada rezeki untuk diberikan kepada ibu, ayah dan adik-adik," katanya.

Katanya, dia menganggap apa yang menimpa keluarganya sebagai ujian dan tidak putus berdoa supaya bapanya kembali sihat.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Rosilawati di talian 019-3179407.

Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 6:10pm
d