mutakhir

Suami isteri edar dadah di hotel bajet

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Balik Pulau: Sembilan suspek termasuk pasangan suami isteri ditahan dalam tiga operasi berasingan di sini, kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah.

Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya itu membabitkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM44,472.85

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan AA Anbalagan berkata, dalam serbuan pertama pada 5 Januari lalu di sebuah hotel bajet di Bayan Lepas, di sini, polis menahan tiga suspek lelaki dan seorang wanita berumur 17 hingga 34 tahun termasuk pasangan suami isteri.

Beliau berkata, pemeriksaan pada jam 11 pagi itu menemukan 11 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 133.71 gram dan sebanyak 30.56 gram syabu.

"Serbuan kedua empat jam kemudian di lokasi yang sama menahan seorang suspek lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 23 tahun.

"Polis merampas 12 paket dadah disyaki syabu seberat 50.12 gram bernilai RM5,012 dan siasatan awal mendapati suspek menjadikan hotel bajet sebagai lokasi pengedaran serta penjualan dadah kepada pelanggan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Anbalagan berkata, serbuan ketiga terhadap sebuah pondok di Jalan Sungai Batu Teluk Kumbar, di sini, menemukan sebanyak 20 pil erimin 5 dan syabu seberat 257.25 gram.

Susulan serbuan itu, polis menahan dua suspek lelaki berusia 37 dan 39 tahun.

Katanya, dipercayai kesemua suspek yang ditahan pada tiga serbuan itu mempunyai kaitan dan polis sedang mengesan dalang sindiket berkenaan.

"Enam daripadanya tidak bekerja manakala tiga lagi masing-masing bekerja sebagai nelayan, berniaga dan buruh selain ujian saringan air kencing mendapati kesemuanya positif dadah.

"Kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau dengan maksimum 17 kes seorang dan dipercayai menjalankan sindiket itu sejak tiga bulan lalu," katanya.

Kesemua suspek direman antara tiga dan lima hari bermula 6 Januari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

BALIK PULAU 8 JANUARI 2021. Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan AA Anbalagan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar daerah Barat Daya, di sini, dengan nilai rampasan sebanyak RM44, 472.85. NSTP/ZUHAINY ZULKIFFLI

Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 1:08pm
d