mutakhir

760 kg daun ketum dirampas

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Tindakan seorang lelaki berusia 20 tahun membawa kenderaan dalam keadaan mencurigakan akhirnya terjawab apabila dia ditahan di simpang Kampung Sungai Asap A, dekat sini, pagi kelmarin.

Hasil pemeriksaan polis pada 11.40 pagi itu menemukan 400 kilogram (kg) daun ketum di dalam kereta dipandu lelaki itu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foon berkata, anggota kereta peronda polis (MPV) pada mulanya mengekori kereta itu kerana ia dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya kereta itu melalui Simpang Pulai, Ipoh ke Cameron Highlands dan Sungai Koyan sebelum melalui jalan Gua Musang.

"Anggota cuba menahan kereta itu namun pemandu enggan berhenti hingga terpaksa dikejar hingga ke Kampung Sungai Asap A.

"Apabila berjaya ditahan, pemeriksaan dilakukan menemukan 40 plastik hitam mengandungi 400 kilogram daun ketum dipercayai untuk dihantar ke negara jiran.

"Hasil siasatan mendapati lelaki itu pernah ditahan atas kesalahan yang sama sebanyak dua kali serta sudah dihadapkan ke mahkamah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini, hari ini.

Sik berkata, pada hari sama juga kira-kira 1.30 petang, polis merampas 360 kilogram ketum yang disembunyikan dalam sebuah kereta jenis Honda Civic FD.

Katanya, kereta terbabit ditinggalkan di sebuah rumah kosong di Kampung Renok Baru selepas pemandu kereta terbabit mengetahui diintip anggota polis.

"Apabila polis menemui kereta terbabit dan hasil pemeriksaan menjumpai 36 plastik hitam dengan anggaran 360 kg daun ketum bernilai RM3,600.

"Pemandu kereta itu berjaya melarikan diri dan polis masih mengesan suspek," katanya.

Beliau berkata, pengedar daun ketum menjadikan laluan jalan Gua Musang untuk pasaran tempatan dan dihantar ke Thailand.

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 4:57pm
d