mutakhir

Cebisan tubuh mangsa serangan buaya ditemukan

Oleh Mohd Roji Kawi

Samarahan: Bahagian tubuh manusia dipercayai daripada lelaki yang disambar buaya di Sungai Meranek, di sini, Selasa lalu, ditemukan, hari ini.

Bahagian paha hingga pergelangan kaki kanan itu ditemukan pada 12.05 tengah hari tadi di muara Sungai Samarahan kira-kira 15 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) dan 7.5 kilometer dari lokasi mangsa diserang reptilia berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataannya berkata, keluarga mangsa yakin bahagian tubuh itu adalah daripada mangsa, Azyan Azhar, 28.

"Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada 1.45 tengah hari tadi selepas keluarga berpuas hati dan yakin, bahagian tubuh itu adalah daripada mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi, Selasa lalu, mangsa hilang selepas disambar buaya ketika memukat ikan di Sungai Meranek.

Mangsa, pergi ke sungai berkenaan pada 3.45 pagi bersama bapanya, Azhar Razali untuk memeriksa pukat yang mereka pasang.

Operasi SAR dilancarkan oleh 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan sebaik menerima laporan kejadian itu pada 6 pagi.

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 5:11pm
d