mutakhir

Polis terus kompaun orang degil ingkar SOP

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Sitiawan: Seramai 11 individu dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP) di dua pusat hiburan, di sini.

Tindakan itu diambil anggota pasukan task force pematuhan SOP PKPB Balai Polis Sitiawan yang melakukan pemantauan pada 10 malam semalam hingga 12.01 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pemeriksaan mendapati sembilan lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 30 tahun gagal mematuhi SOP PKPB.

"Dua lelaki iaitu masing-masing penjaga premis melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, manakala sembilan pelanggan pula mengikut Peraturan 12 peraturan sama.

"Dua premis berkenaan ditutup serta-merta oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan mengikut PKPB," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, orang ramai terutama di daerah Manjung dinasihatkan mematuhi SOP ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Katanya, polis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan premis yang didapati ingkar SOP sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 2:09pm
d