mutakhir

Maut selepas tercampak keluar dari kereta

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Pekerja kilang terbunuh selepas tercampak keluar dari kereta dipandunya dalam kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak dekat Jalan Tun Hussein Onn, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Juffri Aidil Jamaluddin, 23, yang beralamat di Taman Mutiara, Sungai Kob, Karangan, Kedah maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima panggilan pada jam 8.20 pagi.

"Siasatan di lokasi mendapati hanya Perodua Myvi dipandu mangsa saja dalam keadaan remuk teruk dan kemalangan tidak membabitkan kenderaan lain.

"Keadaan cuaca juga baik, jalan lurus, rata dan berturap serta tiada kesan brek ditemui di jalan raya.

"Semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa terbabas sendiri sebelum kenderaannya terbalik beberapa kali lalu menyebabkan dia tercampak keluar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shafee berkata, mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 3:58pm
d