mutakhir

Bahagian ikan, buah Pasar Borong Kuala Lumpur ditutup sementara

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kes positif Covid-19 dalam kalangan peniaga dan pekerja bahagian ikan serta buah menyebabkan Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang kini ditutup sementara.

Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Sesi Pasar Borong Harian Selayang Mohammad Pandu Insani Yahya berkata, pihaknya sudah dimaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bahawa proses sanitasi giat dijalankan bagi membendung penularan wabak itu.

Menurutnya, kini hanya bahagian sayur saja yang masih beroperasi untuk sementara waktu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

"Persatuan dimaklumkan, 111 peniaga dan pekerja warga tempatan positif Covid-19 manakala bahagian ikan serta buah ditutup sejak Sabtu lalu.

"DBKL kini giat menjalankan sanitasi di lokasi berkenaan bagi mengawal penularan Covid-19," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Katanya, sehingga kini tidak dipastikan punca penularan itu namun ia dapat dikawal daripada terus melumpuhkan operasi harian pasar borong terbesar negara itu.

Tambahnya, peniaga dan pekerja juga dinasihati untuk terus patuh kepada SOP kerana tidak mahu lokasi sama dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekali lagi.

"Jika PKPD dikenakan sekali lagi, sudah pasti kitaran ekonomi pasar borong tergendala dan kerugian tinggi akan dihadapi peniaga manakala pekerja tiada pendapatan.

"Pelanggan juga diingatkan supaya mematuhi SOP ketika membeli barangan kerana rantaian penularan boleh berlaku di mana saja," katanya.

Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat DBKL ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih menunggu maklumat lanjut daripada jabatan berkaitan.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 3:14pm
d