Asia

Covid-19: Thailand lulus vaksin keluaran AstraZeneca

Oleh Agensi

Bangkok: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh AstraZeneca Plc dan Universiti Oxford dengan bekalan pertama 50,000 dos dijangka diterima bulan depan.

Bangkok Post melaporkan, Setiausaha Agung FDA, Paisarn Dunkum berkata, vaksin keluaran AstraZeneca yang dihasilkan di Itali itu diluluskan kelmarin serta lesen import dan pendaftaran vaksin itu sah selama setahun.

AstraZeneca adalah penghasil vaksin Covid-19 pertama diluluskan di Thailand.

Sebelum ini, FDA menerima permohonan untuk pendaftaran vaksin daripada AstraZeneca dan Sinovac Biotech Ltd dari China.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul berkata, kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 daripada AstraZeneca dijangka diterima pada minggu pertama bulan depan.

Anutin, yang juga Menteri Kesihatan Awam berkata, kumpulan pertama 50,000 dos vaksin AstraZeneca adalah sebahagian daripada 26 juta dos yang diperoleh oleh kerajaan dengan harga AS$5 (RM20.20) setiap dos.

"Rundingan sedang berlangsung untuk mendapatkan lebih banyak bekalan kerana kerajaan berhasrat memberi vaksinasi kepada 50 peratus penduduk menjelang akhir tahun ini," katanya.

Anutin berkata beliau secara sukarela menjadi orang pertama di Thailand menerima vaksinasi Covid-19.

Thailand sudah menempah 61 juta dos daripada Oxford-AstraZeneca dan tambahan dua juta lagi dos daripada Sinovac Biotech.

Dalam pada itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) melonggarkan sekatan terhadap 13 jenis perniagaan termasuk pusat kecergasan, kemudahan urut tradisional dan spa bermula esok susulan situasi Covid-19 bertambah baik di ibu negara itu.

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 6:32am
d