mutakhir

Sambutan Thaipusam sederhana, patuh SOP [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Gombak: Sambutan Thaipusam pada tahun ini dilihat amat berbeza bagi penganut agama Hindu di negara ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 13 Januari lalu.

Tinjauan Harian Metro di sebuah kuil di Batu Caves di sini, semalam mendapati tiada individu yang dibenarkan masuk bagi tujuan keagamaan di kawasan berkenaan.

Pihak media yang membuat tinjauan di kawasan berkenaan juga tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.

Dilihat hanya terdapat beberapa individu yang dipercayai pihak pengurusan kuil berada di dalam kawasan terbabit.

Bagi K Tharma, 38, sambutan Thaipusam kali ini hanya dilakukan di rumahnya bersama keluarga.

Menurutnya, dia bersama isteri R Vicneswari, 37, dan anak, T Rudra Janani Thevar, 4, melakukan upacara sembayang di rumah.

"Memang berbeza, jika dulu kita menyertai perarakan ke kuil Hindu dengan membawa pedati arca Dewa Murugan, kavadi dan juga 'paal koodam'.

"Namun kini ia disambut sederhana tanpa perarakan besar seperti tahun-tahun sebelumnya, bagi mengekang penularan wabak Covid-19," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, seramai 200 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika perayaan Thaipusam.

"Semua pihak didapati mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk pihak pengurusan kuil yang tidak membenarkan sebarang upacara diadakan," katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 1:57pm
d