mutakhir

Tak sempat seludup 100 kg daun ketum

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Sebanyak 100 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM10,000 yang cuba diseludup ke Thailand berjaya dirampas oleh polis marin selepas menahan seorang nelayan warga Thailand di perairan Kuala Perlis, di sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kejadian berlaku pada 4.30 pagi ketika pasukan polis marin sedang melakuakan rondaan di sekitar perairan kawasan berkenaan.

"Pihak kami menerima maklumat aktiviti penyeludupan dan Unit Risikan Polis Marin Kuala Kedah dibantu oleh Unit Risik Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Daerah Kuala Perlis serta Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Polis DIRaja Malaysia (PDRM) melakukan rondaan di sekitar perairan Kuala Perlis.

"Kemudian, ketika rondaan berkenaan dilakukan, kami ternampak bot fiber tidak mempunyai nombor pendaftaran berwarna biru dan merah sedang berlegar di kawasan itu sambil dikemudi oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Kegagalan lelaki berusia 28 tahun menunjukkan dokumen pengenalan dirinya menyebabkan kami terus menahan bot berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, pemeriksaan selanjutnya ke atas bot berkenaan kemudian menemui 10 bungkusan plastik hitam dipercayai mempunyai daun ketum disembunyikan di ruang penyimpanan barang dalam bot berkenaan.

"Kesemua bekalan daun ketum dipercayai cuba diseludup keluar ke Thailand dan ia dianggarkan mempunyai berat sebanyak 100 kg.

"Suspek berasal dari Satun, Thailand ditahan untuk siasatan lanjut manakala kesemua rampasan termasuk bot fiber berkenan dianggarkan bernilai RM40,000," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Disiarkan pada: January 31, 2021 @ 8:27am
d