Asia

Dua penganut Kristian disebat kerana alkohol dan judi

Oleh AFP

Banda Aceh: Dua lelaki beragama Kristian disebat atas kesalahan minum minuman keras dan berjudi.

Dua lelaki itu menerima 40 sebatan setiap seorang daripada seorang pegawai Shariah menggunakan rotan.

Seorang daripada mereka dikenali sebagai JF berkata, dia memilih hukuman sebat bagi mengelakkan pertuduhan jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan.

"Polis Shariah memberi kami pilihan dan kami membuat keputusan untuk mematuhi undang-undang jenayah Islam.

"Tiada sesiapa memaksa saya membuat pilihan ini," katanya kepada AFP.

Aceh adalah satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan hukuman Shariah.

Bagi mereka yang bukan beragama Islam dan melanggar peraturan nasional serta undang-undang Shariah boleh memilih pelaksanaan hukuman di bawah mana-mana sistem.

Hukuman sebat ke atas penganut agama lain adalah sangat jarang berlaku.

Hanya beberapa pesalah saja dihukum di bawah undang-undang berkenaan beberapa tahun kebelakangan ini atas kesalahan berjudi dan menjual minuman keras.

Dua penganut Kristian itu adalah antara tujuh individu yang menjalani hukuman sebat hari ini.

Lima lagi individu beragama Islam dihukum atas kesalahan zina dan minum minuman keras.

Disiarkan pada: February 8, 2021 @ 7:32pm
d