mutakhir

Kompaun RM10,000 untuk kesalahan berulang [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Jeli: Kompaun RM10,000 yang berkuat kuasa 11 Mac ini hanya dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan berulang dan kesalahan yang boleh mencetuskan penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kenaikan kompaun berkenaan bukan dikenakan bagi kesemua kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, polis akan mengeluarkan tawaran kompaun berkenaan berdasarkan rekod yang mereka ada.

"Kita akui ramai yang salah faham dan bimbang dengan jumlah kompaun sehingga RM10,000. Namun ia bukan dikenakan kepada semua kesalahan.

"Sebaliknya untuk kesalahan tertentu iaitu mereka yang degil dengan melakukan kesalahan berulang serta mereka yang melanggar SOP termasuk rentas negeri sehingga menyebabkan penularan Covid-19.

"Namun, individu yang dikenakan kompaun RM10,000 itu boleh membuat rayuan untuk pengurangan kompaun kepada Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, di sini, hari ini.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 1:15pm
d