mutakhir

Kedatangan pelancong ke Melaka merosot 70 peratus

Oleh Amir Mamat

Melaka: Kempen Orang Melaka Melawat Melaka (Melakan Visit Melaka) 3.0 akan diperkasakan semula bermula 8 Mac ini bagi membolehkan sektor pelancongan di negeri ini dihidupkan kembali.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata langkah terbabit sekali gus dapat membantu pemain industri pelancongan tempatan untuk meneruskan program pembangunan sektor berkenaan, selain membolehkan golongan pengayuh beca serta pengusaha perhotelan mencari rezeki.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri sekali lagi mengharapkan supaya larangan rentas daerah yang ditetapkan kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat dilonggarkan semula selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mac ini.

"Kehadiran pelancong ke Melaka merosot sehingga 70 peratus sejak sebulan lalu dan menerusi kelonggaran itu membolehkan kempen Melakan Visit Melaka 3.0 yang akan dilancarkan pada 8 Mac ini mencapai sasarannya.

"Jika kempen itu berjaya, sektor pelancongan di Melaka sudah pasti akan dapat dibangunkan semula sekali gus meningkatkan semula ekonomi negeri," katanya selepas menyampaikan bantuan kewangan secara One-Off kepada 308 pengayuh beca di Hotel Casa Del Rio, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, sejak larangan rentas daerah dikenakan ketika PKP dan PKPB, ramai pengusaha pelancongan mengeluh selepas pendapatan mereka terjejas teruk.

"Justeru, kerajaan negeri menyalurkan beberapa bentuk bantuan, termasuk kewangan secara One-Off kepada pemain industri berkenaan yang membabitkan penarik beca, pemandu pelancong dan pemandu bas pelancongan," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 4:34pm
d