rap

Mulianya hati Siti Sarah

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Siti Sarah menerima pelbagai komen positif daripada pengikut di Instagram apabila mahu menaja tudung selama setahun kepada lima wanita yang berhasrat untuk berhijab.

Sarah ketika dihubungi berkata, inisiatif itu wujud bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia Isnin lalu. 

"Saya akui ramai wanita yang belum berhijab pasti mempunyai keinginan untuk bertudung tapi mungkin mereka tiada kekuatan atau sokongan daripada sesiapa. 

"Justeru, saya terpanggil untuk menaja tudung Loveta kepada lima wanita yang belum berhijab tapi mempunyai keinginan yang sudah lama mereka pendam.  

"Saya harap niat baik ini menjadi asbab untuk mereka terus berhijab dan istiqamah dengan kekal memakai tudung," katanya. 

Menurut Sarah, dia menerima pelbagai maklum balas positif daripada orang ramai yang mempunyai keinginan untuk berhijab. 

"Alhamdulillah, ramai yang meninggalkan komen dan menghantar mesej peribadi di Instagram untuk mengubah hidup mereka menjadi lebih baik dengan tampil berhijab.

"Ada satu mesej yang meyentuh hati saya apabila ada seorang wanita yang sudah berkahwin dan usianya kini 40-an tapi masih lagi belum bertudung. Dia beritahu mahu mengubah hidupnya tapi belum ada kekuatan selain tidak tahu cara menggayakannya. 

"Buat masa ini saya hanya dapat menaja tudung kepada lima wanita yang sudah berhijab dan lima wanita yang mempunyai keinginan berhijab selama setahun.

 "Dalam pada menerima mesej psoitif, ada  juga individu yang menhantar mesej tidak baik dengan mempertikai tindakan saya ini tapi saya tak nak layan sebab benda baik yang kita nak buat pasti ada yang kurang senang," katanya.  

Disiarkan pada: March 13, 2021 @ 5:50pm
d