Bola Sepak

Sanchez puas, Sulaiman kecewa

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Rafael Gil Sanchez menyifatkan kebangkitan barisan pemain pasukan itu untuk melakar kemenangan 3-1 menewaskan Kuching City FC pada aksi Liga Perdana di Stadum Larkin, malam tadi cukup menakjubkan.

Beliau berkata, ketika rehat pada babak rehat barisan pemain tampak tidak bersemangat dan sugul selepas ketinggalan 0-1 dan tampak wajah mereka tampak begitu risau untuk menyambung semula aksi babak kedua.

"Saya suntik semula semangat pemain supaya beraksi dengan tenang dan tidak mudah panik kerana ada baki 45 minit lagi untuk menentang Kuching City FC dan mengingat setiap pemain agar mempamerkan corak permainan yang konsisten.

"Malah saya juga mengarahkan pemain kerap mengawal bola dan sering bergerak bagi mengelirukan benteng lawan supaya mudah kita bertindak melakukan serangan berbahaya dan pemain mengikut arahan sekali gus membawa kepada kemenangan.

"Kehadiran pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) seperti Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan Syazwan Andik Ishak turut memainkan peranan buat JDT II mencipta kemenangan malah ketiga-tiga pemain itu membentuk persefahaman yang baik bersama pemain lain," katanya.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussain bagaikan tidak dapat menyembunyi perasaan kecewa akibat kecuaian pemain pasukan itu yang menjadi punca utama gawang mudah dibolosi.

"Dua gol yang terhasil adalah daripada pemain yang sama iaitu Feroz (Baharudin) yang menanduk bola. Situasi itu menunjukkan kami terlalu leka dan membiarkan pemain itu bergerak bebas walaupun babak pertama kita beraksi dengan baik.

"Ini adalah aksi kedua kami dan kedua-dua perlawanan di gelanggang lawan namun itu bukan alasan dan percaya pada aksi seterusnya pemain akan bangkit kerana dua perlawanan yang diharungi lebih kepada untuk menguji keserasian," kata Sulaiman.

Disiarkan pada: March 14, 2021 @ 12:29pm
d