mutakhir

Perunding projek direman enam hari [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Perunding projek sebuah syarikat swasta direman enam hari selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, kerana meminta wang rasuah berjumlah RM5,000.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas SPRM, Syed Farid Syed Ali selepas permohonan dibuat oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Riduan Kadri.

Penahanan bagi membolehkan siasatan terhadap lelaki berusia 37 tahun itu dilakukan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Suspek ditahan jam 1.08 tengah hari semalam di sebuah restoran makanan segera di Tampin, dekat sini, selepas menggunakan kedudukan dengan meminta wang rasuah berjumlah RM5,000 daripada pengadu.

Tindakan itu didakwa dilakukan pada 8 Mac lalu sebagai dorongan meluluskan tuntutan kerja bagi projek pembangunan Bangunan Kompleks Sukan Rembau Negeri Sembilan yang sedang dilakukan oleh syarikat milik anak pengadu.

Disiarkan pada: March 16, 2021 @ 12:08pm
d