mutakhir

Kastam rampas minuman keras tidak bercukai bernilai RM1.7 juta

Oleh Amir Mamat

Ayer Keroh: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras pelbagai jenama dalam satu operasi di Puchong, Selangor, 9 Mac lalu.

Dalam operasi Cawangan Narkotik JKDM bersama Cawangan Penguatkuasaan JKDM Melaka itu berjaya merampas minuman keras dipercayai dibawa masuk menerusi Pelabuhan Klang ke sebuah gudang berlesen awam di Puchong dengan nilai keseluruhan RM1.7 juta.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya membuat serbuan di sebuah premis selain menahan sebuah lori treler yang mengandungi minuman keras disyaki barangan tidak berkastam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 18,241.82 liter minum keras dianggarkan bernilai RM139,809.41 dengan anggaran jumlah duti dan cukai terbabit sebanyak RM1.6 juta.

"Kami menahan empat individu terdiri daripada masing-masing dua lelaki warga tempatan dan warga asing yang berusia 24 hingga 47 tahun.

"Modus operandi digunakan adalah memanipulasi pergerakan menerusi pemalsuan dokumen pengisytiharan barangan bercukai dan dijadikan helah untuk melepaskan diri daripada pemeriksaan penguatkuasaan Kastam," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Melaka, di Wisma Kastam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kastam Melaka Siti Zaleha Mohd Said.

Mengulas lanjut, Abdul Latif berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan dirampas atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.

Selain itu, katanya, siasatan juga akan membabitkan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sehubungan itu, saya meminta orang ramai membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah serta kenderaan dan dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan,"katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2021 @ 6:57pm
d