mutakhir

Kantoi jadi 'transporter' Pati

Oleh Melvin Joni

Kuching: Dua lelaki tempatan yang menjadi 'transporter' (pengangkut) membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan ketika mengambil lima warga Indonesia di Jalan Kampung Raso 1, Lundu, dekat sini, hari ini.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, kegiatan mereka itu gagal apabila diserbu anggota Task Force Cawangan Skuadron Perisai 11 PGA dan anggota Pos Raso pada 5 pagi hari ini.

"Mereka yang masing-masing memandu Perodua Axia dan Proton Saga ditahan ketika kesemua warga Indonesia itu menaiki kenderaan.

"Pemeriksaan mendapati semua warga Indonesia terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan memasuki Malaysia menggunakan jalan tikus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 25 tahun bersama lima Pati terbabit yang berusia 25 hingga 33 tahun dibawa ke Hospital Lundu untuk menjalani ujian calitan Covid-19 dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Antipsom) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: March 18, 2021 @ 7:10pm
d