mutakhir

Covid-19: Lima kluster baharu dikesan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima kluster baharu membabitkan empat kluster tempat kerja dan satu komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Jalan Permas Baru adalah kluster tempat kerja di Johor Bahru, yang mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-323,126) dilaporkan positif Covid-19 pada 14 Mac lalu hasil saringan individu bergejala.

Menurutnya, kluster ini membabitkan sebuah kilang yang terletak di Jalan Permas 9/6, Bandar Baru Permas Jaya, Masai, Johor Bahru di mana sehingga hari ini 12 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Kluster Jalan Gemilang juga kluster tempat kerja membabitkan Johor Bahru dan Kota Tinggi di Johor di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-330,895) dilaporkan positif Covid-19 pada 20 Mac lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan pekerja sebuah kilang di Jalan Gemilang Tiga, Taman Perindustrian Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru di mana sehingga kini 53 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu lagi kluster tempat kerja adalah Kluster Tapak Bina Jalan You City membabitkan daerah Hulu Langat di Selangor di mana kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 15 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja sebuah tapak binaan yang terletak di Jalan You City, Batu 9, Cheras dengan 25 kes positif setakat ini.

"Kluster Bukit Tambun juga membabitkan kluster tempat kerja didaerah Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang di mana dua kes indeks bagi kluster ini iaitukes ke-321,966 dan kes ke-321,971 dilaporkan positif Covid-19 pada 13 Mac lalu hasil saringan kontak rapat.

"Kluster ini membabitkan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan Bukit Tambun, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan dengan 16 kes dilaporkan setakat ini," katanya.

Beliau berkata, kluster dalam komuniti pula adalah Kluster D Gana membabitkan Keningau di Sabah di mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-328,840 dilaporkan positif Covid-19 pada 19 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.

"Nama kluster merujuk kepada lokaliti penularan kes-kes yang dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Dalit Gana, Keningau dengan 20 kes dikesan Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2021 @ 8:06pm
d