rap

Tampil pelakon segar

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BERMULA 10 Mac lalu, peminat drama tanah air disajikan dengan kehadiran drama bersiri baharu berjudul Romantika 4 Hari 3 Malam.

Bagi peminat drama bercorak romantik yang diadaptasikan daripada novel, drama arahan pengarah Nizam Zakaria yang ditayangkan di slot Lestary TV3 ini tentunya akan membuatkan anda tersenyum sendiri.

Pastinya, ramai yang membayangkan diri masing-masing berada dalam karakter Lana Analia lakonan Amelia Henderson yang mencari cinta sejati dan memiliki rasa cinta yang begitu kuat.

Secara ringkasnya, Romantika 4 Hari 3 Malam mengisahkan mengenai wartawan majalah bernama Lana Analia yang begitu hebat dalam penulisan berkaitan cinta.

Kemampuannya itu juga memberikannya peluang untuk dia menggalas tanggungjawab sebagai penulis ruangan rencana, Blind Date.

Dalam ruangan kelolaannya itu, Lana berkongsi pengalaman bertemu secara 'blind date' dengan pelbagai lelaki yang memiliki pelbagai perwatakan.

Walaupun berkali-kali mencuba nasib, Lana nampaknya masih belum ditakdirkan untuk bertemu dengan cintanya. Namun, kerana penulisannya yang berjaya menyentuh hati ramai pembaca dan mendapat sambutan, Lana memenangi pakej percutian eksklusif selama empat hari tiga malam di sebuah pulau.

Siapa sangka, percutian itu mengubah hidup dan kehidupannya apabila dia mula jatuh cinta dan berdepan pelbagai dugaan bagi mengejar cintanya.

Penerbit dari syarikat produksi Rubber Tapper Production (M) Sdn Bhd, Qaseh Anita Abd Shukor sudi berkongsi pendapat sebagai pemain industri dan penonton setia drama bersiri ini.

Menurut Qaseh, banyak aspek yang berjaya menarik perhatiannya untuk terus menonton drama terbitan Wiranusa Corporation Sdn Bhd ini.

"Banyak aspek yang saya lihat antaranya, pelakon-pelakon yang membarisi drama bersiri ini. Kebanyakannya adalah pelakon generasi baru dan segar.

"Dari segi jalan ceritanya juga berjaya menarik perhatian saya kerana ia tidak terlalu berat dan begitu santai untuk ditonton," katanya.

Tambah Qaseh, jalan cerita yang cuba dipaparkan dalam Romantika 4 Hari 3 Malam begitu dekat dengan kehidupan penonton.

"Ia berkait rapat dengan kehidupan masyarakat kita hari ini. Selaku pengarah, Nizam juga berjaya menaikkan kisah latar belakang karakter Lana dengan begitu baik sekali.

"Satu perkara yang menarik perhatian saya adalah bagaimana Nizam mencuri tumpuan menerusi lokasi resort yang terletak di Johor yang secara tak langsung, dapat memperkenalkan destinasi percutian indah itu," katanya.

Tambahnya lagi, sebagai penerbit pula, pengisian drama itu adalah satu langkah terbaik yang dilakukan Nizam.

"Pengisiannya menjadi kunci utama dan kekuatan drama ini. Itu yang penting.

"Kalau ada yang nak memberi kritikan mengenai lakonan pelakon yang kaku, saya rasa kita sebagai pemain industri patut beri peluang untuk mereka memperbaiki dan terus belajar.

"Itu semua adalah proses untuk mereka (pelakon baru) cuba belajar," katanya.

Di media sosial, drama ini belum lagi memanjat carta sohor kini, namun mula menjadi bualan dan meniti di bibir penonton drama tempatan.

Romantika 4 Hari 3 Malam adalah karya nurkilan penulis novel Wizana Emilia dan membariskan barisan pelakon hebat antaranya Amelia sendiri, Sean Lee, Syafi Tee, Oshin Ahmad, Nynaa Harizal dan ramai lagi.

Disiarkan pada: March 22, 2021 @ 6:23am
d