mutakhir

Sektor swasta, Mardi perlu kerjasama kembang teknologi moden [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Serdang: Sektor swasta di negara ini diseru bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dalam mengembangkan teknologi moden sekali gus membantu kumpulan sasar dalam kalangan petani dan pesawah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, teknologi hasil penyelidikan Mardi itu seperti teknologi kilang tanaman, pertanian pintar, penggunaan dron dan teknologi 5G.

Beliau berkata, teknologi baharu berpotensi diketengahkan kepada petani, pengusaha ladang dan makanan seterusnya meningkatkan kualiti hasil di negara ini.

"Kejuruteraan pertanian adalah bidang penting dalam industri agro-makanan.

"Ia mengupas dan menterjemahkan aplikasi teknologi yang terkini, bukan sahaja dari segi mekanisasi tetapi termasuk Internet of Things (loT), Artificial Intelligence (AI) dan sebagainya yang harus bergerak seiring dengan perkembangan industri agro-makanan keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian Dan Makanan (NAFEC 2021) dan pelancaran dua buku Kejuruteraan Makanan di Ibu Pejabat Mardi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Mafi merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi, Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor dan Presiden Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE) Profesor Dr Rosnah Shamsudin.

Sebagai contoh, Ronald Kiandee berkata, penganjuran konvensyen kerjasama MSAE itu boleh diterjemahkan dalam aplikasi dan pengolahan teknologi baharu untuk industri berkaitan.

Ini katanya, termasuk penggubalan dasar dan sebagainya hasil daripada dapatan dibuat dalam konvensyen seumpamanya.

Disiarkan pada: March 23, 2021 @ 1:45pm
d