Asia

Bali dijangka dibuka Julai

Oleh BERNAMA

Jakarta: Indonesia merancang membuka semula wilayah Bali kepada pelancong asing Julai ini, lapor Anadolu Agency memetik pegawai negara itu.

Menteri Koordinasi Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Luhut Binsar Pandjaitan berkata, kerajaan juga bersedia menyediakan koridor atau gelembung pelancongan dengan negara lain dalam usaha meningkatkan ketibaan pelancong.

"Kita perlu menetapkan parameter sama untuk mewujudkan gelembung perjalanan timbal balik dengan negara lain," katanya dalam Forum Pelaburan Bali 2021 yang dijalankan secara secara maya.

Indonesia menutup sempadan sejak tahun lalu untuk mengekang penularan koronavirus, dengan pengecualian diberikan kepada mereka yang memperoleh kebenaran daripada kementerian atau institusi Indonesia.

Minggu lalu, pihak berkuasa mengemukakan cadangan mewujudkan 'zon hijau' Covid-19 di Bali, lokasi pelancong boleh melawat dan menginap.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Angela Tanoesoedibjo berkata, terdapat syarat bagi negara yang ingin membangunkan koridor pelancongan dengan Indonesia.

Antaranya, negara terbabit perlu memastikan kadar jangkitan terkawal dan mengekalkan kemajuan proses vaksinasi.

Indonesia juga akan mempertimbangkan menyediakan penerbangan terus yang menghubungkan Bali dengan negara berkenaan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

"Kami memberi keutamaan kepada pelancong berkualiti yang tinggal lebih lama dan berbelanja dengan banyak," katanya.

Sementara itu Gabenor I Bali, Wayan Koster meminta Kerajaan Pusat mempercepatkan program imunisasi bagi menyokong pembukaan semula sektor pelancongan Bali, Julai depan.

Terdapat kira-kira tiga juta daripada 4.3 juta penduduk yang perlu divaksin untuk mencapai imuniti kelompok.

"Bagaimanapun, sehingga kini hanya sekitar 300,000 penduduk di Bali menerima vaksin Covid-19," katanya.

Wilayah itu melaporkan lebih 38,000 kes Covid-19, membabitkan 1,000 kematian.

Disiarkan pada: March 27, 2021 @ 4:48pm
d